NATIONAL
Pemandu BMW mabuk rempuh penghantar makanan didakwa pagi ini
Lelaki yang memandu BMW dipercayai dalam keadaan mabuk sehingga merempuh seorang penghantar makanan hingga maut di Taman Desa Jaya akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada pagi Rabu. - Gambar Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Lelaki yang memandu sebuah kereta mewah jenis BMW dipercayai dalam keadaan mabuk sehingga merempuh seorang penghantar makanan hingga maut di Taman Desa Jaya akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah disiapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
"Pertuduhan akan dibuat pada pagi Rabu di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
"Suspek berusia 25 tahun disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, suspek yang memakai baju berwarna hitam tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira 8.20 pagi dengan diiringi pegawai dan anggota polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu, mangsa, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, maut selepas dirempuh ketika berhenti untuk membantu mangsa kemalangan di Jalan Kota Tinggi–Johor Bahru, berhampiran Taman Desa Jaya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. - Sinar Harian