IPOH: Seorang pemandu treler cedera selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 271.2 arah utara lalu terjunam ke jalan Persekutuan, Jalan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, kejadian yang berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari itu dipercayai berpunca daripada treler yang mengalami masalah brek.

Beliau berkata mangsa D. Kumar, 50, yang merupakan pemandu treler tanpa muatan itu hanya mengalami cedera ringan.

"Semasa EMPV unit 16 Changkat Jering - Ipoh membuat tugas rondaan mendapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah treler.

"Didapati ia terbabas dan terjunam ke jalan Persekutuan (Jalan Kuala Kangsar) di Km 271.2 arah utara, yang berpunca daripada masalah brek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


mangsa D. Kumar, 50, yang merupakan pemandu treler tanpa muatan itu hanya mengalami cedera ringan. - Foto Astro AWANI


Sebelum ini tular di media sosial video dan gambar yang memaparkan sebuah treler terjunam di jambatan berhampiran Jalan Kuala Kangsar.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan kerosakan kepada sebuah kereta yang kebetulan melalui jalan tersebut.

Difahamkan susulan itu, trafik sesak bagi pengguna jalan raya yang mahu ke Tasek dan Chemor, mereka dinasihatkan menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi tersebut.