[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

Pemandu ditemukan lemas, kereta terjunam dalam sungai

Bernama 22/12/2025 | 10:16 MYT
Mayat Ooi Cheah Jhun, 28, yang beralamat di Jalan Anggerik, di Alor Setar, ditemukan di dalam kereta di dasar sungai. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas kereta dinaikinya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan Ampang Bay, di sini ditemukan meninggal dunia petang ini.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta yang terjunam ke sungai di Jalan Ampang Bay, Alor Setar.
  • Pasukan Penyelamat di Air dilibatkan dalam operasi mencari dan menemui kereta mangsa yang terletak di dasar sungai.
  • Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar mengakui cabaran operasi mencari kereta berikutan air keruh dan arus sungai yang deras.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata mayat Ooi Cheah Jhun, 28, yang beralamat di Jalan Anggerik, di sini ditemukan di dalam kereta di dasar sungai berkenaan.

"Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.37 pagi tadi dan sebanyak 12 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Mereka telah melakukan lima selaman bermula 1.29 tengah hari.

"Kira-kira 2.35 petang, kereta mangsa dijumpai di dasar sungai dan berjaya ditimbulkan menggunakan peralatan khas, sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata saksi yang melihat kejadian itu memaklumkan kereta berkenaan dihanyutkan arus deras sebaik jatuh ke dalam sungai sebelum beransur tenggelam.

"Kereta ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi awal ia melanggar tebing dan tenggelam pada kedalaman tujuh meter. Kita menghadapi sedikit kesukaran untuk mengesan kereta itu berikutan air keruh dan arus sungai yang deras," katanya.

-- BERNAMA






#Lelaki lemas #kereta terjunam ke dalam sungai #Alor Setar #meninggal dunia