MALAYSIA

Pemandu e-hailing rugi RM300,000 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bernama 19/07/2025 | 11:40 MYT
Lelaki berusia 67 tahun itu mendakwa kejadian berkenaan berlaku pada April lepas. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan seorang pemandu e-hailing kerugian RM301,300 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.


Ringkasan AI
  • Seorang pemandu e-hailing berusia 67 tahun kerugian RM301,300 selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan, namun tidak menerima sebarang keuntungan.
  • Mangsa membuat 11 transaksi ke empat akaun bank berbeza dan hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan serta gagal menghubungi suspek; laporan polis dibuat pada Isnin.
  • Siasatan mendapati tiga akaun terlibat mempunyai rekod penipuan pelaburan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan, termasuk unsur penglibatan sebagai keldai akaun.


Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 67 tahun itu mendakwa kejadian berkenaan berlaku pada April lepas, apabila mangsa diperkenalkan kepada satu skim pelaburan melibatkan saham luar negara oleh seorang wanita warga tempatan yang baru dikenalinya.

"Mangsa yang percaya dengan janji wanita itu melakukan 11 transaksi ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM301,300 tetapi tidak menerima sebarang keuntungan. Sebaliknya, dia diminta untuk membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran hasil keuntungan.

"Dia membuat laporan polis pada Isnin lepas setelah menyedari ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan itu gagal selain suspek juga tidak dapat dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata siasatan awal melalui platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati tiga daripada akaun yang digunakan mempunyai rekod 27 laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan juga merangkumi unsur penglibatan sebagai 'keldai akaun' di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan akaun atau instrumen pembayaran bagi tujuan jenayah," katanya.

-- BERNAMA


#penipuan online #scam #skim pelaburan tidak wujud #warga emas