Pemandu Grab wanita mangsa gangguan seksual lelaki warga asing

Afiezy Azaman
Januari 4, 2019 10:10 MYT
Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat dari pihak Grab. - Astro AWANI
Polis sedang mengesan seorang lelaki warganegara India yang melakukan gangguan seksual iaitu aksi perbuatan onani di tempat duduk belakang kenderaan Grab yang dipandu seorang wanita di ibu negara.
Dalam kejadian pada 6.30 pagi, Selasa lalu, mangsa mengambil lelaki berkenaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang minta dihantar ke Taman Subang Damai, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata semasa dalam perjalanan suspek berkelakuan tidak senonoh.
"Suspek memandang ke arah mangsa yang sedang memandu sambil terus memegang kemaluannya ketika berada di Dataran Merdeka ke Parlimen (Bulatan Dato Onn).
“Mangsa kemudian menegur perbuatan suspek dan memberhentikan kereta dan meminta suspek turun dari kenderaan.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak tahu nombor telefon pelanggan Grab tersebut dan hanya dapat maklumat dan pesanan daripada aplikasi Grab yang pengadu daftar,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Shaharuddin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat dari pihak Grab.
Katanya, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
#gangguan seksual #grab #pemandu #pemandu wanita #penumpang