NATIONAL
Pemandu Honda Jazz mengaku tidak bersalah sebabkan tiga remaja maut
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah. - Gambar hiasan/Bernama
SEREMBAN: Pemandu Honda Jazz yang memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan tiga remaja maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1 hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.
Dia didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17, mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 namun peguam yang mewakili remaja itu merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,300 dengan seorang penjamin dan mengarahkan remaja itu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan serta menetapkan 21 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.
-- BERNAMA