MALAYSIA

Pemandu jengkaut maut tertimbus tanah di Simpang Pulai

Bernama 25/08/2025 | 09:13 MYT
Anggota bomba bergegas memberikan bantuan kepada mangsa. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang pemandu jengkaut maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika melakukan kerja pengorekan lereng bukit di Simpang Pulai dekat sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Seorang pemandu jengkaut berusia 60 tahun maut selepas tertimbus ketika melakukan kerja pengorekan di lereng bukit.
  • Pasukan bomba tiba di lokasi dan menggunakan jengkaut lain untuk mengalihkan tanah sebelum mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
  • Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat pada jam 3.20 petang.


Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa lelaki berusia 60 tahun itu pada 1.52 tengah hari.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi pada 2.07 petang mendapati mangsa tersepit dalam ruangan pemandu jengkaut selepas sebahagian tanah runtuh yang mengakibatkan mangsa tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya.

"Bantuan jengkaut yang lain digunakan bagi mengalihkan timbunan tanah sebelum mangsa berjaya dibawa keluar dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut serta operasi tamat pada 3.20 petang.

-- BERNAMA



#pemandu jengkaut maut #tanah runtuh #simpang pulai #JBPM Perak #terkini