Pemandu jentolak temukan peluru mortar lama

Bernama
Januari 21, 2024 09:29 MYT
UXO tersebut telah berjaya dimusnahkan di satu kawasan yang selamat pada 4.17 petang. - IPD Kota Bharu / Bernama
KOTA BHARU: Seorang pemandu jentolak menemukan sebutir peluru mortar lama di perkarangan Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pemandu lelaki berusia 40-an itu menemukan peluru itu ketika menggali lubang untuk menanam kabel di lokasi terbabit kira-kira 12.30 tengah hari.
"Unit Pemusnah Bom polis telah pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan bahawa objek berkenaan merupakan kelengkapan tentera yang belum meletup (UXO) jenis peluru mortar 81mm berukuran panjang 40 sentimeter yang sudah berkarat dan tiada sebarang tandaan.
"UXO tersebut telah berjaya dimusnahkan di satu kawasan yang selamat pada 4.17 petang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata tiada sebarang kemalangan atau sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pemusnahan bom itu berjalan.
-- BERNAMA
#pemandu jentolak #peluru mortar #Unit Pemusnah Bom #kelengkapan tentera #UXO