JOHOR BAHRU: Seorang pemandu sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9.7 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Skudai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.58 pagi itu, mangsa, Shamsul Shamshuri, 49, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah selepas tersepit pada bahagian pemandu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Mohd  Suhaimi Jamal, berkata ambulans dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang menuju ke Hospital Permai Johor Bahru sebelum melanggar belakang sebuah lori jenis Hino.

“Seramai 13 anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan(EMRS), dua motosikal serta sebuah utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba di lokasi kejadian empat kakitangan telah tersepit termasuk pemandu Shamsul Shamsuri, 49, Rosnilam Satari, 48, Azlina Mohd. Rawi, 41, dan Amelia Pek Ying Hung, 26, terperangkap dalam van terbabit.

“Pihak bomba mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit menggunakan alatan ‘rescue cutter’ dan mengambil masa kira-kira 11 minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suhaimi berkata, tiga mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan manakala pemandu lori berkenaan terselamat.

“Pemandu ambulans disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.”

“Operasi tamat pada pukul 1.24 petang,” katanya