Pemandu, kelindan tersepit, lori muatan daging terbabas di susur masuk RnR

Aida Aziz
Jun 25, 2022 03:10 MYT
Anggota bomba BBP Bidor dengan bantuan BBP Tapah mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan power unit dan alatan menyelamat. - Foto ihsan JBPM Perak
BIDOR: Seorang pemandu dan kelindan tersepit di bahagian kaki apabila lori muatan daging yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
Kejadian di susur masuk hentian rehat dan rawat (RnR) Ladang Bikam itu difahamkan berlaku kira-kira pada jam 4 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.41 pagi.
"Kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori lima tan muatan daging yang terbabas di susur jalan masuk RnR Ladang Bikam.
"Didapati dua mangsa lelaki, iaitu pemandu dan kelindan, tersepit di bahagian kaki, selain mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dengan bantuan BBP Tapah kemudiannya mengeluarkan mangsa menggunakan power unit dan alatan menyelamat.
Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Ahmad Tarmizee Hasan itu tamat pada jam 6 pagi.
#RnR Ladang Bikam #langgar pembahagi jalan #lori muatan daging #pemandu tersepit