KAJANG: Sebuah kereta yang terbabas hingga mengakibatkan seorang gadis maut manakala tiga rakannya cedera dalam kemalangan pada awal pagi Khamis berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk) dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati, pemandu berumur 20 tahun berkenaan bersama tiga lagi rakannya dalam perjalanan pulang ke Kajang setelah makan di Puchong.

"Siasatan dijalankan mendapati, pemandu berkenaan disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kereta dinaiki mereka telah hilang kawalan.

"Kereta dinaiki mereka kemudian terbabas serta melanggar pembahagi batu jalan di kiri jalan serta memasuki kawasan Rehat dan Rawat Sungai Ramal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Azman, semua mangsa berusia antara 18 dan 20 tahun.

Tambahnya, salah seorang daripada rakan mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala gadis yang juga pemandu kereta tersebut dan seorang lagi rakannya cedera parah sementara seorang penumpang lelaki cedera ringan dalam kejadian itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian pada Khamis, seorang gadis manakala tiga lagi rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk), pada awal pagi Khamis.


Artikel asal di Sinar Harian