Pemandu lawan arus meninggal dunia

Dewi Nur Harasha Alias
April 22, 2021 04:22 MYT
Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan punca kematian lelaki itu disebabkan mengalami pelbagai kecederaan dalaman. - Foto ihsan PDRM
BUTTERWORTH: Pemandu kereta yang parah selepas memandu secara melawan arus di Kilometer(KM) 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam Rabu minggu lepas, dilaporkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 43 tahun yang memandu Honda City itu meninggal dunia jam 12.30 tengah malam Rabu selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).
"Selepas lapan hari menerima rawatan, pihak polis dimaklumkan HSJ bahawa lelaki itu sudah meninggal dunia.
"Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan punca kematian lelaki itu disebabkan mengalami pelbagai kecederaan dalaman ekoran impak kemalangan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 14 April lepas, lelaki itu yang memandu secara melawan arus telah merempuh sebuah kereta Toyota Corolla Altis yang dinaiki tiga beranak dan sebuah motosikal dalam kejadian jam 8.30 malam di KM 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dekat Bagan Ajam.
BACA: Suami isteri parah kereta dirempuh pemandu lawan arus
Kemalangan menyebabkan seorang wanita iaitu penumpang Toyota Corolla Altis, Goh Shei Yi, 31, meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HSJ.
BACA: Kereta dirempuh pemandu lawan arus, isteri meninggal dunia, suami dalam ICU
Suaminya menerima rawatan di sebuah Hospital swasta di George Town berada dalam keadaan stabil sementara anak perempuan berusia tiga tahun sudah dibenarkan keluar hospital.
Penunggang dan pembonceng motosikal yang terlibat dalam kemalangan sama tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#LLB #Noorzainy Mohd Noor #pandu lawan arus #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #unit rawatan rapi #Goh Shei Yi #pembonceng motosikal