PUTRAJAYA: Seorang pemandu limousin terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan mengedar 1.428 kilogram kanabis kepada memiliki dadah itu.

Saifulizam Abdul Jalil, 51, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan memiliki dadah itu oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

Hakim Hadhariah yang mengetuai panel itu mengarahkan Saifulizam menjalani hukuman itu mulai dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 April 2019.

Bapa tiga anak itu juga terlepas hukuman sebatan kerana undang-undang mengecualikan lelaki berumur 50 tahun ke atas daripada disebat.

Peguamnya, Muhammad Amirrul Jamaluddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi anak guamnya bagi meminda pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd Jaafar mengesahkan perkara itu.

Pada 19 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Saifulizam bersalah mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman mati.

Dia melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Taman Dahlia, Sepang, Selangor pada 10.45 padi, 29 April 2019.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat telah menyerbu rumahnya dan selepas menjalankan pemeriksaan, mereka menemukan sebuah beg hitam yang mengandungi dadah tersebut.

-- BERNAMA