MALAYSIA
Pemandu lori derma darah jarang jumpa sejak 33 tahun lepas

S. Shanmugam, berkata dia telah menderma darah itu sebanyak 54 kali dan menjadi penyumbang terbesar jenis darah berkenaan di HRPB sejak 33 tahun lepas. - Gambar Bernama
TANJONG MALIM: Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 34 tahun lepas mula menderma darah selepas menyedari darah jenis Rh Negatif yang dimilikinya sukar diperoleh di negara ini.
S. Shanmugam, 54, berkata dia telah menderma darah itu sebanyak 54 kali dan menjadi penyumbang terbesar jenis darah berkenaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak 33 tahun lepas.
"Saya pernah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 1991. Ketika itu, saya patah kaki kanan dan mengalami kecederaan, namun pembedahan terpaksa ditangguhkan kerana darah jenis itu amat sukar diperoleh.
"Jadi, bermula daripada situlah saya sedar saya juga perlu menjadi penderma atas rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan berharap agar setiap titisan darah yang disumbangkan dapat menyelamatkan nyawa," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 Peringkat Negeri Perak di Hospital Slim River di sini hari ini.Shanmugam yang menetap di Teluk Intan berkata dia akan ke HRPB sebanyak empat kali dalam tempoh setahun untuk menderma darah yang didefinisikan sebagai kumpulan darah ganjil atau jarang jumpa (rare blood) dalam satu-satu populasi masyarakat, terutama kebanyakan rakyat Malaysia hanya memiliki darah jenis Rh Positif iaitu lebih 90 peratus.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan.
Selain itu, Beh Zeng Kang, 29 seorang konsultan perundangan pula dinobatkan sebagai penderma darah terbanyak di Perak selepas melakukannya sebanyak 51 kali sejak berusia 17 tahun.
Beh yang mempunyai darah jenis O berkata amalan menderma darah menjadi rutin kehidupannya sejak remaja kerana mahu membantu golongan yang memerlukan, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
"Biasanya saya menderma darah di Hospital Teluk Intan serta di beberapa lokasi lain melalui program anjuran pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO). Jadi, setahun pasti empat kali menderma.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya ingin memberi sumbangan mengikut kemampuan diri. Selagi sihat, saya akan terus menderma untuk mereka yang memerlukan," katanya.
Sementara itu, Sivanesan memaklumkan Perak berjaya mengumpul lebih 64,416 beg darah sepanjang tahun lepas melalui penganjuran program bersama agensi, NGO, badan kebajikan dan lain-lain.
"Statistik penderma darah terdiri daripada kaum Cina 48.32 peratus, Melayu (39.12 peratus) diikuti dengan India (11.40 peratus) dan lain-lain 0.76 peratus.
"Permintaan dan penggunaan darah untuk keperluan pesakit juga semakin bertambah dari tahun ke tahun dan dianggarkan penggunaan darah bagi negeri ini boleh menjangkau 80,000 beg setahun," katanya.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan khas kepada 36 penderma darah atas usaha mereka secara berterusan membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi pada setiap masa.
Penghargaan turut diberikan kepada 15 penganjur atas kejayaan mereka menganjurkan kempen derma darah secara konsisten, sekali gus berjaya mencatatkan jumlah penyertaan penderma dan jumlah beg darah yang memberangsangkan di Perak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami