SEREMBAN: Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami wanita berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Suhaimi Yusof, 50, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama 10 bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan komunikasi secara tidak wajar dengan menghantar tiga keping gambar serta dua rakaman video berunsur lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, dekat sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu menerima beberapa keping gambar dan rakaman video berunsur lucah daripada tertuduh yang sebelum ini merupakan suami kepada isterinya.
Kandungan yang diterima itu memaparkan isteri pengadu dan menyebabkan lelaki berkenaan berasa tertekan serta terganggu sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan untuk meringankan hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.
Sebaliknya, dia memberitahu mahkamah bahawa dirinya bersedia menerima hukuman penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda tersebut.
Dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan bahawa dia kini mencari rezeki sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak, dengan tiga daripadanya masih bersekolah.
Menurutnya, anak-anak berkenaan kini berada di bawah jagaan bekas isterinya.
Tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa perbuatannya itu dilakukan kerana dia berasa marah selepas mendakwa dirinya telah ditipu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menasihati tertuduh supaya tidak bertindak mengikut emosi dan mempertimbangkan terlebih dahulu kesan daripada setiap perbuatannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM6,000 bagi setiap daripada lima pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000, atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin.