IPOH: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 16 tahun antara tahun 2021 dan 2022.

Tertuduh yang berusia 53 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Menurut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual bagi maksud seksual terhadap mangsa, yang juga anak bongsunya.

Dua daripada perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Chemor Perdana, Ipoh, kira-kira jam 9.30 malam dan lebih kurang jam 2 pagi, pada hujung tahun 2021.

Satu perbuatan didakwa dilakukan di Rancangan Perumahan Awam 2, Hulu Kinta, kira-kira jam 6 pagi, 7 Oktober 2022 manakala satu lagi di Kampung Tersusun Tasek, Bercham,  lebih kurang jam 9.30 malam, hujung tahun 2022.

Kesemua pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis antara satu hingga tiga tahun, seperti mana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk kesemua empat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’ain Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.