[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Pemandu maut MPV rempuh plaza tol

Dewi Nur Harasha Alias 15/08/2021 | 10:35 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di dalam MPV berkenaan. - Gambar/ JBPM
PERMATANG PAUH: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya merempuh tembok Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth dekat sini, hari ini.
Mangsa lelaki yang identitinya belum dikenal pasti itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan selepas tersepit di dalam MPV berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.02 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti dan Perai dihantar ke lokasi kejadian.
"Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah Toyota Avanza yang telah melanggar tembok plaza tol.
"Terdapat seorang mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identiti tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas pada jam 2.43 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.51 petang.
#rempuh plaza tol #Kubang Semang #BKE #Butterworth #Kulim #Permatang Pauh #kemalangan #pemandu maut