SLIM RIVER: Seorang lelaki maut setelah lori muatan bahan mentah sejuk beku yang dipandunya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 364.9 Lebuhraya PLUS arah selatan, di sini, pada Rabu.

Difahamkan kemalangan tersebut turut menyebabkan dua kenderaan lain tidak sempat mengelak lalu merempuh lori berkenaan dari belakang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pemandu lori berkenaan berusia dalam lingkungan 29 tahun tercampak keluar dari lori dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Manakala dua orang yang menaiki kereta jenis Grand Livina cedera dan empat orang yang menaiki Proton Wira selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 malam.

"Kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori muatan bahan mentah (sejuk beku) dan dua buah kereta, Grand Livina dan Proton Wira.

"Difahamkan lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu terbalik. Kereta jenis Grand Livina dan Proton Wira kemudiannya melanggar lori itu dari arah belakang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya lagi, anggota bomba kemudiannya membantu pihak polis dan pasukan perubatan mengendalikan mangsa yang cedera.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai oleh PBK II Saijol Amri Malik itu tamat pada jam 8.28 malam.