MALAYSIA
Pemandu MPV terbabit kemalangan maut tiga penuntut IKBN ditahan

Polis meminta saksi kejadian tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Polis menahan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk membantu siasatan berhubung kemalangan yang membabitkan tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan Alor Setar menghala ke selatan, pada Khamis.
Ringkasan AI
- Kemalangan maut: Tiga penuntut IKBN Jitra terbunuh dalam perlanggaran membabitkan dua motosikal dan sebuah MPV di Lebuhraya Utara Selatan.
- Siasatan polis: Pemandu MPV ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Maklumat diperlukan: Polis meminta saksi kejadian tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal pihak polis di lokasi mendapati, kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dan dua buah motosikal iaitu Yamaha 135LC dan Yamaha Y16ZR.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal 135 LC hilang kawalan dan gagal mengawal kenderaan sehingga melanggar bahagian belakang kenderaan Naza Citra yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
"Sejurus itu, motosikal Y16ZR datang dari arah sama gagal untuk berhenti terus melanggar motosikal Yamaha 135 LC.
"Akibat perlanggaran itu, dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Manakala seorang lagi pembonceng motosikal mengalami kecederaan dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.
Beliau berkata, pemandu dan ketiga-tiga penumpang kenderaan Naza Citra itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk tujuan bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Siti Nor Salawati berkata, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Alor Setar menghala ke selatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami