MALAYSIA

Pemandu pacuan empat roda maut tercampak dalam nahas jalan raya

Bernama 14/09/2025 | 09:45 MYT
Akibat pelanggaran mangsa tercampak sebelum dihempap oleh kenderaannya, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri dan keluar menggunakan pintu kanan. - Foto PDRM
SEREMBAN: Seorang lelaki warga tempatan maut akibat tercampak selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dalam nahas jalan raya di KM 276 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut selepas tercampak dan dihempap kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dalam kemalangan di KM 276 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Nilai.
  • Kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan, sebelum berpusing dan merempuh sebuah kereta lain yang membawa sekeluarga dari Seri Kembangan ke Johor.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Nilai atau Pegawai Penyiasat Trafik yang bertugas.


Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira 6.50 pagi dan mangsa berusia 20-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi manakala rakannya cedera.

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Bangsar menghala ke Seremban sebelum kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang di kanan jalan.

"Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum merempuh bahagian belakang kereta dipandu lelaki berusia 40-an bersama isteri dan dua anak berumur belasan tahun dari Seri Kembangan menghala Johor, yang berada di lorong kedua dari kanan sebelum terbalik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu mangsa tercampak sebelum dihempap oleh kenderaannya, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri dan keluar menggunakan pintu kanan.

Abdul Malik berkata penumpang kereta yang berada di bahagian belakang tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba, manakala pemandu dan penumpang hadapan berjaya keluar sendiri.

Mayat dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Polis Daerah Nilai melalui talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Insp Muhammad Farid Danial Azli melalui talian 012-9122198.

-- BERNAMA




#warga tempatan maut akibat tercampak #pacuan empat roda #Lebuhraya Utara-Selatan #Seremban