MALAYSIA

Pemandu pelancong wajib lulus kursus ILP sebelum dilesenkan - MOTAC

Faida Rahim 27/01/2026 | 06:54 MYT
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man ketika sesi pertanyaan- pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pemandu pelancong diwajibkan mengikuti kursus serta lulus ujian kecekapan yang dijalankan oleh Institusi Latihan Pelancongan (ILP) yang diiktiraf di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum mereka layak dilesenkan oleh kementerian berkenaan.

Timbalan Menteri MOTAC merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, setakat ini sebanyak 47 ILP telah berdaftar dan diiktiraf di bawah MOTAC bagi melaksanakan latihan berkenaan.

"Sebagai syarat pembaharuan lesen pula, pemandu pelancong perlu mengikuti Kursus Continuing Tourism Related Education (CTRE) atau kursus upskilling dan reskilling bagi menambah pengetahuan serta kemahiran, termasuk penguasaan bahasa asing, sekali gus memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Selain itu, MOTAC juga telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengiktiraf kursus pemandu pelancong sebagai sebahagian daripada ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.

Pensijilan ini melibatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong Bandar (Tahap 3), Kursus Regional Specific Tourist Guide (RSTG) Sabah dan Sarawak (Tahap 3), serta Kursus Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semulajadi Setempat (Tahap 2).

"Pengiktirafan ini meletakkan bidang pemandu pelancong dalam ekosistem TVET negara, khususnya dari segi pensijilan dan kebolehpasaran serta memperkukuh tahap profesionalisme pemandu pelancong negara," katanya lagi.



#MOTAC #TVET #pemandu pelancong #Chiew Choon Man #Dewan Rakyat #kursus ILP