MALAYSIA
Pemandu, penumpang bas ekspres, persiaran wajib pakai tali pinggang keledar mulai 1 Julai
JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan persiaran bermula 1 Julai ini. - Foto fail/ Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai ini.
Ringkasan AI
- JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai ini, melibatkan bas yang dibina mulai 1 Januari 2020, manakala bas lebih lama diberi tempoh untuk pemasangan.
- Syarikat pengendali bas perlu mewujudkan SOP bagi memastikan pemandu dan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum perjalanan bermula, dengan garis panduan akan dikeluarkan oleh JPJ.
- Kegagalan mematuhi arahan ini akan dikenakan saman RM300 kepada pemandu, penumpang dan pengendali syarikat, sebagai langkah meningkatkan keselamatan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan itu melibatkan bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 kerana telah diwartakan untuk pemasangan tali pinggang keledar.
Menurut beliau, bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.
“Kita sedang meneliti dan menjalankan sesi libat urus bersama pihak industri bagi memberi tempoh kepada syarikat pengendali bas untuk memasang tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia Khas JPJ Malaysia di sini pada Ahad.
Aedy Fadly memberitahu, pihaknya juga telah memanggil pihak industri bagi memaklumkan bahawa satu mekanisme atau prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan di peringkat syarikat bas untuk memastikan pemandu dan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak.
Jelas beliau, jabatan itu juga akan mengeluarkan garis panduan kepada syarikat pengendali bagi memastikan pematuhan terhadap arahan tersebut.
“Jika gagal mematuhi arahan berkenaan, pemandu, penumpang dan pengendali syarikat akan dikenakan notis saman sebanyak RM300.
“Pemakaian tali pinggang keledar ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya. - Sinar Harian