Pemandu Proton Saga himpit lori, berlagak samseng ditahan

Sinar Harian
April 9, 2023 08:18 MYT
Tangkap layar video tular yang memaparkan aksi himpit-menghimpit di antara sebuah kereta dengan lori. -Foto Sinar Harian/TikTok
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang pemandu kereta Proton Saga merah selepas dipercayai bertindak agresif dengan merosakkan sebuah lori seperti dalam video tular di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki tempatan berusia lewat 30-an itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan awal yang dilakukan mendapati kejadian pergaduhan itu berlaku di Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh pada Sabtu namun masa kejadian tidak dapat dipastikan.
"Dalam video tular itu, kereta Proton Saga merah dan sebuah lori didapati berhimpit-himpit antara satu sama lain dan akhirnya kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan berhenti sebelum berlaku pergaduhan.
"Pemandu kereta terbabit dilihat telah mengeluarkan satu objek dari bahagian belakang keretanya sebelum memukul nombor plat hadapan lori berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Pada Sabtu tular video berdurasi dua minit 50 saat yang memaparkan kejadian pergaduhan menggunakan senjata dan merosakkan kenderaan di daerah Seberang Perai Tengah.
Video yang dimuat naik oleh pengguna twitter 'nan manjoi' itu mendapat pelbagai reaksi warganet.
Sementara itu, Cheng San menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan memecahbelahkan ketenteraman. -Sinar Harian
#kereta himpit lori #Proton Saga merah #Jalan Permatang Janggus #video tular