Pemandu rentung dalam kemalangan babit tiga treler

Bernama
Mei 16, 2023 10:07 MYT
Anggota bomba mengangkat mayat pemandu yang rentung dalam kebakaran melibatkan tiga lori membawa muatan kayu balak di Kampung Temehel, Yong Peng, Batu Pahat pada Selasa. -Foto Sinar Harian
BATU PAHAT: Seorang pemandu treler rentung selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lagi treler di jalan utama Kampung Temehel berhampiran Klinik Kesihatan Yong Peng, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff dalam kenyataan berkata Mohd Khairol Nizam Rokazi, 39, disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat tersepit dan melecur 90 peratus, susulan kenderaan dipandunya terbakar.
Katanya difahamkan ketiga-tiga lori yang membawa muatan balak itu dari Chaah, Segamat menuju ke Yong Peng.
Asyraf Nur berkata terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.14 pagi, sebelum 16 anggota dari BBP Yong Peng, Ayer Hitam dan Penggaram digegaskan ke lokasi kejadian.
"Seorang lagi pemandu, Mohd Shahril Musa, 27, mengalami kecederaan akibat tersepit dan tindakan mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas 'Road Traffic Accident' (RTA)... manakala, seorang lagi mangsa, Mohammad Fathul Syarastani Suhimi, 30, selamat," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Khairol Nizam Rokazi #pemandu treler rentung #kemalangan tiga treler #Klinik Kesihatan Yong Peng