Skip to main content

Malaysia

Pemandu teksi antara penyokong paling setia ketika Reformasi 1998 - PM Anwar

Anwar (foto) ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Zon Tengah di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anwar (foto) ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Zon Tengah di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Advertisement

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau jasa pemandu teksi yang menjadi antara penyokong paling setia ketika beliau berdepan detik sukar susulan gerakan Reformasi 1998.

Beliau berkata jasa golongan itu tidak pernah dilupakan, khususnya ketika beliau ditahan dan dipenjarakan selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

“Saya ingat masa 1998 dulu bila ditangkap, penyokong saya paling tegar pemandu teksi. Saya berterima kasih banyak. Itu masa saya susah, kena terajang, pukul, masuk lokap, orang ini bantu saya.

“Takkan jadi Perdana Menteri bila Menteri Pengangkutan Anthony Loke cadang bagi RM1,000, saya kata tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah.

Anwar turut mengimbau bagaimana pemandu teksi menghantar makanan dan minuman secara percuma kepada penyokong yang berhimpun di kediamannya ketika itu.

“Siapa yang bawa? Teksi. Siapa bayar? Tak bayar. Teksi hantar kuih, air bagi orang makan,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah seorang warga emas dari Nilai yang pernah dibantunya membaiki rumah sebelum beliau dipenjarakan.

Menurut Anwar, lelaki berkenaan menjual telur masin dan menggunakan perkhidmatan teksi untuk menghantar hasil jualan kepada keluarganya sebagai tanda penghargaan.

Bagaimanapun, pemandu teksi terbabit enggan menerima bayaran selepas dimaklumkan mengenai kisah di sebalik penghantaran tersebut.

“Dia kata kepada pakcik itu, ini ikhlas sumbangan saya sebagai rakyat,” katanya.

Anwar berkata pengalaman berkenaan menjadi antara sebab beliau sentiasa menghargai jasa pemandu teksi walaupun kini memegang jawatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik pemberian bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang layak bagi membantu meringankan beban mereka.

Must Watch Video

Advertisement