Anak pemandu teksi yang mati ditikam di Jalan Pasir Mas-Salor di sini, hari ini, berkata bapanya pernah diserang seorang lelaki tidak dikenali kira-kira enam bulan lepas.

Rosnani Sudin, 33, berkata lelaki terbabit yang menunggang sebuah motosikal, cuba memecahkan cermin teksi bapanya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat berdekatan Balai Islam Lundang di sini, tetapi gagal berbuat demikian.

"Setahu saya, ayah tidak mempunyai musuh... ayah mesra dengan semua orang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang tadi, Sudin Awang, 67, dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh, mati ditikam seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika menghentikan teksinya di persimpangan lampu isyarat itu.

Rosnani berkata kali terakhir beliau menemui bapanya dua hari lepas.

Sementara itu, seorang lagi anak mangsa Mohd Nazri Hanafiah, 23, berkata beliau diberitahu mengenai kejadian yang menimpa bapanya oleh jirannya.

"Saya mendapat tahu berita itu kira-kira 3 petang. Sebelum itu, saya sudah menerima mesej (Whatapps) berkaitan berita itu, cuma saya tidak percaya.

"Waktu itu, saya berada di sebuah bank di Pasir Tumbuh. Selepas mendapat panggilan dari jiran, barulah saya percaya bahawa ayah saya mati dalam keadaan yang menyedihkan," katanya.

Beliau berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Lanas selepas selesai bedah siasat oleh pihak hospital.

Dalam insiden itu, mangsa dibunuh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika teksi yang dipandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira pukul 2.30 petang.

Dia dihampiri suspek yang memecahkan cermin belakang, cermin pintu penumpang depan dan cermin pintu sebelah pemandu dengan objek keras, sebelum dipaksa keluar daripada teksinya dan kemudian dia dipercayai ditikam dengan senjata tajam.