SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pemandu teksi wanita daripada pertuduhan memperdagangkan seorang lelaki bagi tujuan eksploitasi meminta sedekah, tiga tahun lepas.

Hakim Datin Surita Budin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan, gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Nurul Hidayah Md Nor, 32, di akhir kes pendakwaan.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

""Secara ringkas mahkamah mendapati pendakwaan telah gagal membuktikan mangsa seorang yang diperdagangkan dan dieksploitasikan bagi tujuan menyalahi undang-undang.

"Dalam keterangan bersumpah, mangsa menyatakan, dia meminta sedekah di tempat awam atas kerelaannya sendiri tanpa paksaan tertuduh atau mana-mana pihak.

"Mangsa sendiri menjalankan aktiviti itu selepas keluar dari rumah keluarga kerana bapanya tidak mahu membantunya lagi," katanya.

Surita berkata setiap kutipan derma itu juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh lelaki berkenaan dan selepas laporan polis dibuat, lelaki itu masih menjalankan aktiviti meminta sedekah sekali gus menunjukkan aktiviti meminta sedekah tiada kaitan dengan tertuduh.

Pada 8 April 2022, Nurul Hidayah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdagangkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak, bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei hingga 7 Nov 2021, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Enteri Mawan, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Perbicaraan kes itu bermula 9 Jan 2023, dengan lapan saksi pendakwaan memberikan keterangan.

-- BERNAMA