Persatuan teksi menyeru pihak kerajaan untuk mengawal syarikat-syarikat teksi dan pemandu teksi dengan lebih ketat sebagai satu cara untuk mengurangkan kes pemandu yang terlibat dalam jenayah.

Ini berikutan laporan yang membabitkan kes rogol, serangan, penculikan, dan rompakan oleh pemandu teksi yang melibatkan penumpang wanita sejak akhir-akhir ini.

Sehingga Selasa, polis telah menahan sembilan suspek, termasuk tiga wanita dan beberapa pemandu teksi berhubung kes rogol seorang warga Amerika Syarikat, dan 15 kes rompakan dan serangan lain di sekitar Lembah Klang.

Presiden Persatuan Pemandu Teksi Bestari (Bukit Bintang) Mohamed Asharaf Yasin mengakui sememangnya wujud ramai pemandu teksi yang bermasalah dan berasa malu dengan tindakan segelintir pemandu teksi ini.

"Pihak SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) tidak harus bertolak ansur dalam soal ini dan membatalkan lesen mereka dengan serta merta," kata Mohamed Asharaf.

Bagaimanapun, sebelum berlakunya kes-kes jenayah beliau berkata SPAD seharusnya melakukan pemantauan dengan lebih ketat.

Tambah beliau, ini boleh dilakukan dengan menyediakan tempat menunggu teksi yang sesuai, memastikan bahawa pemandu teksi memakai pakaian seragam, dan mempunyai sistem yang lebih baik untuk mengendalikan permit.

"Terdapat pemandu memakai seluar jeans dan selipar. Terdapat beberapa garis panduan dan kami ada mengarahkan mereka untuk mengikut garis panduan namun ramai yang berdegil. Itulah sebab utama kenapa pihak kerajaan mesti tegas dari segi pelaksanaan dan memeriksa perkara ini semua,” katanya.

Mohamed Asharaf berkata bahawa teksi juga perlu memaparkan kad pemandu di bahagian papan pemuka atau 'dashboard' teksi.

"Ya, ia adalah satu kemestian. Pelanggan mahu melihat muka pemandu. Ya, kadang-kadang terdapat gambar pemilik permit tetapi mereka menyewa kepada orang lain sebagai pemandu. Itu adalah satu kesalahan. Kami juga ada menerima laporan warga asing menjadi pemandu teksi! " katanya.

Mengenai sama ada teksi wanita adalah satu inisiatif kerajaan yang baik, beliau berkata telah terdapat laporan di mana pemandu wanita sendiri dicabul dan diserang.

"Saya cadangkan bahawa kita mempunyai lebih banyak tempat di mana pelanggan boleh membeli kupon yang mempunyai nombor plat pemandu dan juga nama dan butir-butir pemandu," katanya.

Namun pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan berkata bahawa pendekatan sistem kupon bukanlah cara penyelesaian yang baik.

"Terdapat banyak cadangan, tetapi yang kita perlu adalah membaik pulih industri ini dengan sistem yang betul oleh pihak kerajaan," kata Amran.

"Orang ramai tidak boleh hanya menyalahkan pemandu. Terdapat pemandu yang dibunuh juga. Semua ini mempengaruhi persepsi pemandu teksi kita. "

Beliau berkata bahawa terdapat "kekurangan tanggungjawab" oleh SPAD kerana dia mendakwa bahawa pihak berkuasa itu tidak cukup ketat dalam pemberian permit.

"SPAD tidak mengendalikannya dengan baik. Mereka sepatutnya pantau dengan lebih ketat syarikat-syarikat yang menerima permit dari mereka. Syarikat-syarikat ini berorientasikan keuntungan dan mereka tidak peduli siapa pemandu yang menyewa dari mereka, "katanya.

Amran juga berkata bahawa pihak berkuasa perlu memastikan bahawa permit diberikan kepada pemandu teksi sepenuh masa dan rakyat Malaysia.

"Kami hanya boleh memantau pemandu sepenuh masa. Jika terdapat terlalu ramai pemandu sambilan, segala-galanya akan menjadi kacau-bilau dan kualiti akan menurun." katanya.