[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Pemandu treler dipenjara 8 tahun, denda RM80,000 sebabkan kematian satu keluarga

Bernama 18/06/2025 | 11:30 MYT
Seorang pemandu treler dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam kemalangan di Sungai Siput. - Foto BERNAMA
TAIPING: Seorang pemandu treler dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam kemalangan di Sungai Siput, lima tahun lepas.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menolak rayuan Y Vethri Vel, 31, dan menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan denda RM20,000 untuk setiap empat pertuduhan pindaan serta mengarahkan hukuman itu berjalan serentak bermula 13 Jun lepas serta ditambah tiga bulan lagi penjara sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh juga hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen dalam tempoh tiga tahun dari tarikh sabitan dan butiran sabitan hendaklah direkodkan pada lesen memandu.
Bapa kepada dua anak itu didapati bersalah atas empat pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian kepada Mohamad Faiz Bakhari, 28; isteri mangsa, Nik Iedayu Nik Hassan, 30; bayi mereka, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan dan adik ipar, Nik Ifeka Nik Hassan, 27.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dalam daerah Sungai Siput lebih kurang 10.20 malam pada 13 Feb 2020.
Sebelum ini pada 14 Dis 2023, Mahkamah Majistret Sungai Siput memutuskan Vethri Vel bersalah mengikut Seksyen 44(1)(b) akta sama atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.
Pertuduhan dipinda kepada Seksyen 41 (1) APJ 1987 selepas Mahkamah Tinggi mendapati wujud keraguan munasabah terhadap sampel darah tertuduh yang dibangkitkan pihak pembelaan.
Terdahulu, Vethri Vel yang diwakili Peguam Ranjit Singh Sandhu dan Faazil Rahman memohon agar mahkamah memberikan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik sahaja mengambil kira kecederaan tisu lembut yang dialaminya semasa kemalangan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail memohon satu hukuman setimpal mengambil kira fakta bahawa tindakan tertuduh yang memandu secara berbahaya telah menyebabkan kematian empat sekeluarga yang meninggalkan seorang anak berusia tiga tahun menjadi yatim piatu.
Pembelaan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
-- BERNAMA
#pemandu treler #penjara #kemalangan Sungai Siput #Y Vethri Vel