MALAYSIA

Pemangku PM Thailand, kabinet baharu angkat sumpah pada Khamis

Bernama 02/07/2025 | 10:35 MYT
Suriya Jungrungreangkit (foto) akan mengetuai barisan menteri baharu menghadiri majlis angkat sumpah pada Khamis sebelum memulakan tugas rasmi. -Gambar fail/AP
BANGKOK: Pemangku Perdana Menteri Thailand Suriya Jungrungreangkit, dijadual mengetuai barisan menteri baharu menghadiri majlis angkat sumpah pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Pemangku Perdana Menteri Thailand, Suriya Jungrungreangkit, akan mengetuai barisan menteri baharu menghadiri majlis angkat sumpah pada Khamis sebelum memulakan tugas rasmi.
  • Majlis ini diadakan susulan penggantungan tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand berikutan petisyen berkaitan integriti dan etika.
  • Rombakan Kabinet turut diumumkan dengan Paetongtarn dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, manakala mesyuarat khas Kabinet akan membincangkan pengagihan tanggungjawab menteri.


Jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap, berkata Suriya yang juga Menteri Pengangkutan akan mengetuai para menteri menghadap Raja bagi majlis angkat sumpah sebelum memulakan tugas secara rasmi.

Selepas majlis itu, Suriya dijadual mempengerusikan mesyuarat khas kabinet dengan agenda utama pengagihan tanggungjawab dalam kalangan Timbalan Perdana Menteri dan menteri, katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sementara mahkamah meneliti petisyen yang difailkan oleh 36 senator, yang mendakwa beliau tidak berintegriti dan melanggar standard etika sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Dalam kenyataan, mahkamah memaklumkan petisyen itu telah diterima untuk pertimbangan, dengan Perdana Menteri diberi tempoh 15 hari untuk mengemukakan pembelaan.

Juga pada Selasa, Warta Diraja menerbitkan pengesahan rasmi mengenai rombakan kabinet berikutan penarikan diri satu daripada rakan gabungan utama kerajaan yang menyebabkan beberapa kekosongan dalam portfolio menteri.

Paetongtarn, 38, yang juga pemimpin Parti Pheu Thai, akan memegang jawatan Menteri Kebudayaan selepas rombakan itu.

-- BERNAMA


#Pemangku Perdana Menteri Thailand #Suriya Jungrungreangkit #Paetongtarn Shinawatra #rombakan kabinet