Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pemangku Sultan Johor lawat kanak-kanak mangsa buli

Astro Awani 19/08/2025 | 08:43 MYT
Tunku Mahkota Ismail berkenan menziarahi kanak-kanak mangsa buli di Hospital Pakar Puteri KPJ, pada Selasa. - Gambar/ Facebook HRH Crown Prince of Johor
JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bersama Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail, berangkat melawat seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli di Hospital Pakar Puteri KPJ, Johor Bahru, pada Selasa.

Izzul Islam Azuan Isaidi, berumur 10 tahun dilaporkan mengalami gegaran otak kesan dari insiden buli sehingga menjejaskan kehidupannya.

Berita mengenai lawatan tersebut dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dan pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman.

Tunku Mahkota turut bertitah agar gejala buli dibendung dan menggesa pihak berkuasa melaksanakan langkah penguatkuasaan dengan segera.

“Gejala buli harus dibendung dan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak,” titah baginda.

Sebelum ini, ibu mangsa, Siti Suhaina Misdi, 39, mendakwa anaknya dipukul oleh seorang murid berusia 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama di Skudai sehingga mengalami gegaran otak dan gangguan ingatan pada 7 Ogos lalu.

Susulan itu, pada 15 Ogos lalu, ibu mangsa membuat laporan polis baharu di Balai Polis Larkin di sini.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.




#TMJ #Pemangku Sultan Johor #kanak-kanak mangsa buli #Izzul Islam