MALAYSIA
Pemansuhan syarat Cuti Haji beri impak positif kepada prestasi penjawat awam

Keputusan kerajaan disambut baik kerana mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rohani penjawat awam, tanpa menjejaskan prestasi perkhidmatan awam. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan Cuti Haji penjawat awam yang dilantik secara tetap akan memberi impak positif kepada prestasi dan etika kerja mereka.
Ringkasan AI
- Kerajaan memansuhkan syarat pengesahan jawatan bagi cuti haji penjawat awam tetap, membolehkan mereka merancang ibadah haji lebih awal tanpa terikat tempoh perkhidmatan.
- Langkah ini memberi peluang kepada penjawat awam muda menunaikan haji, mengurangkan risiko terlepas peluang kerana faktor umur, kesihatan atau kos, serta membentuk disiplin dan integriti kerja.
- Keputusan tersebut disambut baik kerana mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rohani penjawat awam, tanpa menjejaskan prestasi perkhidmatan awam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 semalam mengumumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi kemudahan Cuti Haji penjawat awam yang dilantik secara tetap.
Mengulas lanjut, Siti Norlina berkata keputusan itu juga memberi peluang kepada penjawat awam yang masih muda menunaikan haji, sekali gus mengurangkan risiko terlepas peluang menunaikan ibadah tersebut akibat faktor umur, kesihatan atau kenaikan kos pada masa hadapan.
Selain itu, katanya ibadah haji adalah satu pengalaman untuk melakukan transformasi diri ke arah lebih baik dan tentunya memberi kesan positif terhadap peribadi individu khususnya daripada aspek disiplin, amanah dan tanggungjawab yang amat diperlukan dalam perkhidmatan awam.
"Keputusan ini melambangkan sokongan kerajaan terhadap pembangunan modal insan berteraskan nilai agama, melalui kesedaran penjawat awam untuk menunaikan tanggungjawab agama sebaik mungkin ketika usia masih muda.
"Ia sekali gus membantu membentuk peribadi yang mempunyai budaya kerja berintegriti dan beretika," katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat, berkata langkah tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rohani penjawat awam, selain menghormati hak mereka sebagai umat Islam.
"Sebelum ini, hanya penjawat awam yang telah disahkan dalam jawatan dibenarkan memohon cuti bagi tujuan menunaikan ibadah haji dan keadaan ini menyukarkan sebahagian penjawat awam terutama mereka yang mendapat tawaran awal daripada Lembaga Tabung Haji selepas mendaftar.
"Kebiasaannya, tawaran haji diterima selepas 10 hingga 15 tahun mendaftar kali pertama, malah ada yang telah mendaftar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Sekiranya mereka menolak tawaran ini, giliran seterusnya untuk menunaikan haji boleh mengambil masa lebih daripada 15 tahun," katanya.
Beliau yakin kelonggaran ini tidak menjejaskan perkhidmatan awam, sebaliknya mampu meningkatkan semangat dan integriti penjawat awam yang pulang dari menunaikan ibadah haji.
Bagi Nur Raihana Abdul Rahim, 27, seorang pegawai tadbir diplomatik, pengumuman itu satu penghargaan buat penjawat awam muda seperti dirinya yang sebelum ini tidak layak memohon cuti haji kerana belum disahkan tetap dalam perkhidmatan.
"Sebagai penjawat awam yang belum disahkan jawatan, pengumuman ini satu peluang besar dan bermakna. Ia menunjukkan keprihatinan PMX terhadap kami yang sebelum ini tidak layak memohon cuti haji," katanya.
Norohaida Anita Othman, 45, yang juga seorang pembantu tadbir, berkata langkah itu memberi kemudahan kepada penjawat awam memohon cuti tanpa perlu bimbang mengenai status pengesahan jawatan.
"Rasa lega kerana sebelum ini, ada penjawat awam yang sudah sampai giliran haji tetapi masih belum disahkan jawatan, sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan cuti," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami