KUANTAN: Pahang sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa untuk mengesan sebarang bentuk ajaran mencurigakan atau sesat bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan baik agar kesucian akidah dan pegangan umat Islam di negeri ini terus terpelihara.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata rakyat di negeri ini diminta berwaspada dan berpegang teguh pada kebenaran serta nilai-nilai bersandarkan kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan selama ini.

"Kerajaan negeri menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghindari apa juga bentuk ajaran salah atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Sebagai masyarakat mempunyai pendidikan agama, kita tidak boleh membiarkan diri terperangkap dalam jaringan ajaran sesat dengan perlu merujuk kepada ahli agama bertauliah dan berautoriti sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Rosdy berkata sekiranya ajaran sesat seperti fahaman Khawarij, Takfiri, Syiah dan apa jua ajaran sesat tidak dibendung, dibimbangi boleh mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku seseorang itu selain berisiko membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Semoga kita bersama-sama melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman ajaran sesat," katanya.

Sebelum ini, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Rompin mengingatkan umat Islam di negeri agar menghindari apa jua bentuk ajaran salah atau sesat dan hanya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

-- BERNAMA