KUALA KEDAH: Polis akan melaksanakan pemantauan lebih ketat dan menyeluruh di Langkawi bagi memastikan pelancong mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pelaksanaan gelembung pelancongan di pulau itu, bermula 16 Sept ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi akan mengatur gerak dan mungkin menambah keanggotaan bagi memastikan pemeriksaan pematuhan SOP dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Walaupun dibuka secara gelembung, semua pengunjung perlu mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan... mereka yang nak ke Langkawi juga kena ada surat kebenaran polis.

"Kena dapatkan kebenaran di tempat mereka duduk, contohnya kalau duduk di kawasan Brickfields (Kuala Lumpur), kena dapatkan surat dari Brickfields (balai polis)," katanya yang ditemui pemberita ketika meninjau sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata surat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi program perintis perjalanan ke Langkawi itu, bagaimanapun hanya diperlukan bagi pelancong yang akan menggunakan laluan darat sahaja.

Mazlan berkata bagi pelancong yang menggunakan pesawat udara pula, mereka tidak perlu mendapatkan surat daripada PDRM, seperti yang diumum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

BACA: Tidak perlu surat polis bagi pelancong guna pesawat udara ke Langkawi - Khairy

BACA: COVID-19: KKM siap siaga kemungkinan kenaikan kes di Langkawi

Sementara itu, beliau berkata isu nelayan di Kuala Kedah yang tidak boleh membawa keluar hasil tangkapan mereka dari kawasan PKPD sudah diselesaikan.

"Tiada masalah untuk golongan nelayan keluarkan hasil tangkapan mereka... sebab benda (hasil tangkapan) cepat rosak jadi memang kita benarkan mereka bawa keluar," katanya.

Beberapa hari lepas media melaporkan kira-kira 1,000 nelayan di Kuala Kedah terjejas pendapatan apabila tidak dapat keluar ke laut dan menghantar hasil tangkapan ikan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula 6 Sept lepas.

PKPD Kuala Kedah dilaksanakan hingga 19 Sept ini membabitkan seluruh kawasan di mukim itu kecuali tiga kampung iaitu Kampung Teluk Talipon, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Padang Garam.

-- BERNAMA