KUALA LUMPUR: Pemasangan sistem Distribution Transformer Meter (DTM) dan meter pintar sejak 2021 dilihat berjaya meningkatkan pengesanan kes kecurian elektrik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan kes yang direkodkan bukan bermakna kecurian semakin meluas, sebaliknya sistem baharu ini membolehkan pengesanan dilakukan dengan lebih tepat dan berkesan.
Advertisement
“Sejak 2021 hingga 2025, jumlah kes yang dikenal pasti meningkat kerana teknologi membolehkan kita mengesan aktiviti ini dengan lebih efisien. Sebelum ini, kita tidak mempunyai sistem pengesanan yang setanding,” jelas Fadillah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut beliau, pemasangan meter pintar dan DTM bukan sahaja membantu mengurangkan kehilangan elektrik, tetapi juga memastikan pengagihan kos elektrik lebih adil berdasarkan penggunaan sebenar.
“Dari segi subsidi dan tarif, sekarang ini lebih munasabah untuk rakyat kerana kadar bayaran disesuaikan mengikut jumlah penggunaan. Mereka yang menggunakan lebih elektrik akan membayar lebih, manakala pengguna sederhana mendapat kadar yang lebih seimbang,” katanya lagi.
Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang ingin mengetahui sejauh mana pemasangan sistem DTM dan meter pintar dapat menurunkan kerugian elektrik.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menegaskan bahawa teknologi ini membantu pengurusan bekalan elektrik secara lebih sistematik dan telus.
Sehingga 2025, sebanyak 5.56 juta meter pintar telah dipasang di seluruh Semenanjung Malaysia bagi tujuan pemantauan dan pengawalan bekalan elektrik.
Beliau menambah bahawa pengenalan sistem ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh integriti jaringan elektrik serta mengurangkan kerugian negara akibat kecurian bekalan.
“Dengan penggunaan teknologi pintar ini, kita dapat mengawal kehilangan elektrik dengan lebih baik, mengelakkan kerugian besar dan memastikan sistem bekalan elektrik lebih stabil untuk rakyat,” kata Fadillah.