KUALA LUMPUR: Pembaharuan semula bandar wajar dilaksanakan demi menjamin keselamatan penduduk memandangkan banyak hartanah strata kini mengalami kerosakan yang boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan komuniti.

Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan dalam Simposium Strata Antarabangsa pada 8 dan 9 April sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Simposium berkenaan menampilkan pakar dari Singapura, Australia, Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan Malaysia yang membincangkan reformasi undang-undang strata dan pembangunan semula bandar.

Menurut Institut REHDA ketiadaan tindakan bagi pembaharuan bandar akan menurunkan nilai hartanah serta menyebabkan kos sosial dan ekonomi yang lebih tinggi.

"Selain itu, menunda tindakan terhadap kemerosotan bandar boleh menyebabkan masalah sosial dan ekonomi yang serius seperti peningkatan jenayah, kemerosotan ekonomi, ketidaksamaan dan penurunan nilai hartanah," menurut kenyataan itu.

Institut REHDA memaklumkan tanda-tanda amaran telah mula kelihatan di beberapa kawasan di ibu negara, khususnya melibatkan flat lama, penyelenggaraan yang lemah dan kekurangan pelaburan yang menjadi petunjuk awal kemerosotan bandar.

"Tanpa campur tangan yang tepat, kawasan kejiranan yang semakin berusia berisiko menjadi setinggan bandar pada masa depan. Pembaharuan yang berstrategi dan berasaskan dasar dapat mengelakkan perpecahan sosial jangka panjang serta mengurangkan kos pembaikan yang tinggi," menurut kenyataan itu.

Menurut Institut REHDA pelaksanaan pembaharuan bandar tidak sepatutnya menjadi kebimbangan kepada pihak terlibat kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan berjanji untuk melindungi hak tanah individu melalui perlindungan undang-undang.

"Undang-undang ini akan menyokong pembaharuan bandar yang dirancang dengan ketelusan dan penglibatan komuniti, mengukuhkan hak milik harta," menurut kenyataan itu.

Institut REHDA memaklumkan pembaharuan bandar yang dilaksanakan dengan baik berupaya melindungi komuniti, merangsang ekonomi dan membina bandar yang lebih boleh didiami.

Sehubungan itu, Institut REHDA bakal menganjurkan dua acara berkaitan pembaharuan bandar iaitu Dialog Eksekutif Sudut Pandang - Menjayakan Pembaharuan Bandar pada 26 Mei dan Perbincangan Kelestarian: Mengubah Landskap Bandar melalui Pembaharuan yang dijadualkan pada 10 Jun 2025.

-- BERNAMA