KOTA KINABALU: Pembakaran sengaja oleh pemilik ladang dan kebun dipercayai punca berlakunya kejadian kebakaran terbuka di tujuh lokasi di Sabah pada masa ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata JBPM bersama pihak terlibat masih bertungkus-lumus memadam kebakaran di kawasan berkenaan, malah beliau telah mengarahkan helikopter Mi17 JBPM berpangkalan di Miri, Sarawak untuk membantu proses pemadaman menggunakan kaedah bom air.

Nor Hisham berkata kawasan terbabit adalah di sekitar Bukit Pulau Gaya, Telipok, Kampung Simpangan, Jalan Layar Impian, Jalan Dungang Tambalang, Kampung Kimo Kimo dan Kampung Liang dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 29.95 hektar.

"Ketua zon, ketua balai dan penyelia turun padang mendekati ketua kampung dan pemimpin masyarakat bagi memberi nasihat agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

"Inisiatif ini dilihat lebih berkesan memandangkan hebahan media sosial berkemungkinan tidak sampai kepada golongan di kawasan perkampungan kerana liputan atau penggunaan teknologi yang terhad," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Nor Hisham berkata bagi suku pertama tahun ini, Sabah merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka yang amat tinggi ekoran cuaca panas dan ketiadaan hujan konsisten, malah JBPM menjangkakan berlaku lonjakan angka bagi kes kebakaran terbuka dan api tanah gambut sekiranya situasi ini berterusan.

Justeru, katanya JBPM telah mengenal pasti 114 kawasan panas di Sabah berkeluasan 27,815.39 hektar untuk dipantau dan diambil perhatian supaya tiada pembakaran terbuka serius berlaku di kawasan terbabit.

"Saya juga menegaskan, mana-mana pihak atau individu yang didapati bersalah (melakukan pembakaran terbuka) boleh dikompaun maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan, denda hingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata panggilan kecemasan untuk JBPM Negeri Sabah mencatat peningkatan mendadak bulan lepas iaitu 1,086 berbanding 646 panggilan pada Januari dan bulan ini, sebanyak 444 panggilan kecemasan diterima setakat semalam.

Terdahulu, kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 97 anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), manakala 22 orang menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Negeri Sabah dan Labuan 2023 dalam satu majlis di sini.

-- BERNAMA