KUALA LUMPUR :Selepas Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar, pembangkang akan memulakan ‘serangan’ dalam perbahasan di peringkat Jawatankuasa yang bermula Isnin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka akan menggeledah dan menyanggah habis-habisan pelbagai isu melibatkan semua kementerian, tiada yang terkecuali.

“Masa itu kita serang, tiada jawapan, kita tolak. Ikut kementerian demi kementerian. Mari lagi satu, Kementerian Komunikasi, peruntukan JASA RM85 juta dalam keadaan orang tiada pekerjaan.

“Elaun RM300 nak bayar puluh-puluh ribu untuk pegawai-pegawai ini untuk kerja politik mereka. Kementerian Perumahan, peruntukan untuk pegawai politik ini diangkat, penyokong menteri diangkat untuk kedudukan tertentu.

“Kita akan serang dan dari situ, kita berhak buat undian menolak. Di peringkat jawatankuasa, kita masih boleh menolak. Akhirnya pada 15 Disember, kalau semua ini berjalan, dah tujuh, lapan, sembilan kementerian, kita berhak menolak belanjawan pada 15 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video temu bual bersama TheVibes.com.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau sudah menjangkakan penyokong mereka terutamanya di kawasan bandar akan marah selepas melihat apa yang berlaku di Dewan Rakyat pada 26 November lepas.

Begitupun, beliau menerima setiap bantahan tersebut dan menghormati pandangan mereka.

“Kalau kata kami tolak, menang kalah soal lain. Orang kata, tolong kami pun nak tolak, elaun polis pun nak tolak, elaun untuk staf kesihatan pun nak tolak. Kamu (pembangkang) minta apa, KWSP dan moratorium, menteri setuju, kamu tolak juga?

“Kemudian ia tentu akan dibawa dari segi politiknya, kami langgar titah Tuanku Agong sebab dalam konteks ini, bila ada konsesi oleh Menteri Kewangan dan kita masih langgar, itu ada masalah.

“Saya fikir hal ini semua walaupun saya tahu teras sokongan kita terutama di bandar itu akan meluap kemarahannya,” katanya.