MALAYSIA
Pembangunan bandar perlu seimbang, lestari dan inklusif - Aiman Athirah
Aiman Athirah menekankan peranan penting golongan wanita, khususnya di peringkat akar umbi sebagai ejen ketahanan dan inovasi dalam menghadapi cabaran perubahan iklim. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pembangunan bandar di negara ini perlu dilaksanakan secara inklusif dengan penglibatan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata pendekatan itu penting dalam memastikan proses perbandaran berlaku secara seimbang, dengan mengambil kira pemeliharaan alam sekitar, cabaran perubahan iklim serta keperluan kumpulan rentan termasuk wanita, generasi muda dan golongan profesional.
"Kita mahu perbandaran dibangunkan secara seimbang dan mampu memelihara kelestarian alam walaupun berdepan cabaran seperti perubahan iklim.
"Pada masa sama, keperluan setiap individu dalam bandar perlu diberi perhatian, bukan hanya berdasarkan visi di peringkat atasan, tetapi apa yang benar-benar diperlukan oleh semua kelompok masyarakat," katanya selepas Perhimpunan bersama Pemegang Taruh sempena Forum Pembandaran Lestari ASEAN (ASUF) 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, Aiman Athirah menekankan peranan penting golongan wanita, khususnya di peringkat akar umbi sebagai ejen ketahanan dan inovasi dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Golongan belia pula berperanan menjadi perintis transformasi digital, manakala komuniti perniagaan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi inklusif melalui pelaburan dan inovasi model bandar lestari.
Aiman Athirah berkata program seperti ASUF 2025 menyediakan platform bagi pelbagai pihak berkongsi idea, membina jaringan kerjasama serta menyokong pelaksanaan Strategi Pembandaran Lestari ASEAN dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan.
Beliau berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan terus mengutamakan agenda perbandaran berpusatkan rakyat, selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan kawasan bandar sebagai medan utama pelaksanaan visi berkenaan.
-- BERNAMA