MALAYSIA

Pembangunan Dasar Halal Negara pada fasa akhir, dijangka siap Mei ini - Fadillah

Bernama 03/02/2026 | 05:45 MYT
Fadillah berkata kerajaan bersetuju membangunkan DHN bagi memastikan hala tuju halal Malaysia lebih jelas dan mampan. - Gambar fail
BANGI: Pembangunan Dasar Halal Negara (DHN) kini pada fasa akhir dan dijangka siap Mei ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Ringkasan AI
  • Pembangunan Dasar Halal Negara (DHN) dijangka siap pada Mei ini, membina ekosistem halal yang inklusif, terancang, dan mampan tanpa gangguan pensijilan sedia ada di bawah JAKIM dan majlis agama negeri.
  • Malaysia komited pada DHN 2025-2035 untuk mengekalkan status sebagai peneraju halal global, dengan fokus pengukuhan piawaian, penguatkuasaan, dan pembangunan Pelan Tindakan 2025-2030.
  • Usaha pemerkasaan industri halal termasuk pemerkasaan PKS, penambahbaikan sistem pensijilan bersama, dan pengukuhan kluster halal, menunjukkan sumbangan besar industri halal kepada ekonomi negara, menyumbang 7.94% atau RM118.2 bilion kepada KDNK hingga suku ketiga 2025.


Berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 di sini hari ini, Fadillah berkata kerajaan bersetuju membangunkan DHN bagi memastikan hala tuju halal Malaysia lebih jelas dan mampan.

"Dasar ini akan menjadi panduan strategik bagi membina ekosistem halal yang inklusif, terancang dan mampan tanpa menjejaskan kuasa pensijilan sedia ada di bawah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan majlis agama Islam negeri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JAKIM komited memperkasakan ekosistem halal negara melalui DHN 2025-2035 untuk mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global.

Inisiatif itu merangkumi pengukuhan piawaian, penguatkuasaan dan pembangunan Pelan Tindakan 2025-2030 bagi memastikan industri halal negara lebih holistik.

Bagi merealisasikan fasa seterusnya pembangunan industri halal, Malaysia komited untuk memperkukuh pelaksanaan secara terusun, berfokus dan berimpak tinggi dalam tiga bidang keutamaan merangkumi pemerkasaan laluan pensijilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); penambahbaikan sistem pensijilan dan pengiktirafan bersama serta pengukuhan kluster halal.

Beliau berkata usaha itu membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai peneraju industri halal global yang berintegriti dan berdaya saing.

"Dengan komitmen berterusan, kerjasama strategik antara kerajaan, industri, agensi antarabangsa serta pengiktirafan antarabangsa yang diterima, Malaysia akan memastikan warisan halal dan integriti pensijilan terus dipelihara untuk generasi akan datang," katanya.

Fadillah berkata industri halal memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara, dengan menyumbang 7.94 peratus atau RM118.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga suku ketiga 2025.

Pencapaian itu disokong oleh peningkatan bilangan pengeksport halal berdaftar yang kini mencecah 1,525 syarikat, sekali gus mencerminkan daya saing dan potensi besar industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata usaha juga sedang dilaksanakan kerajaan bagi memperluas skop akreditasi ISO/IEC 17065 bagi Pensijilan Halal Malaysia kepada peringkat majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri selepas kejayaan JAKIM memperoleh akreditasi itu sejak 2019.

"Insya-Allah usaha sedang dilaksanakan agar urusan pensijilan halal Malaysia memenuhi piawaian global dan diterima pada peringkat antarabangsa," katanya.

Fadillah berkata Malaysia memiliki kelebihan strategik melalui sistem pensijilan halal yang diiktiraf dunia, kestabilan dasar serta kekuatan institusi dan tadbir urus yang mantap.

"Namun, kelebihan ini perlu terus diperkukuh lagi melalui kepimpinan dasar yang jelas, inovasi yang berterusan, pelaburan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi," katanya.

Mengenai IHEC 2026, Fadillah berkata penganjuran persidangan itu amat signifikan sebagai sebuah platform penting untuk membincang dan merangka hala tuju masa depan ekonomi halal secara menyeluruh dan bersepadu.

"Saya amat mengharapkan dapat dikongsikan segala pandangan termasuk juga penambaikan sistem sedia ada, bagaimana kita hendak mengembangkan 'the whole value chain' atau pun ekosistem berhubung kait dengan ekonomi halal untuk negara kita.

"Insya-Allah saya akan kongsikan bersama Datuk Seri Ahmad Zahid (Timbalan Perdana Menteri) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Perkasa Pensijilan, Industri Halal Negara," katanya.

-- BERNAMA



#Dasar Halal Negara #Malaysia #industri halal #Fadillah Yusof