Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pembangunan mega perlu angkat budaya, tamadun dan teknologi baharu - PM Anwar

Bernama 16/08/2025 | 12:45 MYT
Pembangunan projek mega yang akan dilaksanakan di negara ini perlu mengangkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk negara dan rakyat keseluruhannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
IPOH: Pembangunan projek mega yang akan dilaksanakan di negara ini perlu mengangkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk negara dan rakyat keseluruhannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan projek mega perlu mengangkat budaya, tamadun dan teknologi baharu, bukan sekadar meniru idea luar.
  • Pembangunan mesti memberi manfaat kepada semua rakyat termasuk perumahan mampu milik, bukan hanya untuk golongan berada.
  • Anwar juga menekankan keperluan sekolah dan kemudahan asas dimasukkan dalam perancangan projek mega.


Beliau berkata dalam keghairahan mengejar pembangunan, kadangkala pemaju hanya menciplak idea luar negara meskipun mengetahui suasana dan persekitarannya tidak serasi dari sudut cuaca, nilai masyarakat dan budaya setempat.

"Sebab itu pembangunan kita yang baharu ini memikirkan soal itu (nilai masyarakat dan budaya) dan juga soal rakyat. Ada gedung-gedung besar, projek-projek megah yang sama sekali tidak ada manfaat langsung selain daripada rakyat berasa kagum... kita tak boleh pertahankan lagi konsep pembangunan sedemikian.

"Negara MADANI itu harus sentiasa prihatin dan menyatuni rakyat, kalau tidak MADANI itu tidak lebih sekadar slogan. Maka, harus difikirkan apakah ciri-ciri yang boleh mengangkat budaya, tamadun, teknologi baharu negara dan rakyat keseluruhannya," kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Perdana Menteri berkata "gedung mega" yang bakal dibangunkan perlu mengambil kira keperluan semasa serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Apakah ia (projek mega) dapat menunjukkan satu bangunan yang boleh memenuhi keperluan semua? Kalau rumah, perumahan yang selesa untuk golongan yang mempunyai dana yang cukup, yang sederhana dan rendah miskin.

"... kerana gedung ini akhirnya akan memerlukan ribuan pekerja dan ribuan pekerja itu tidak patut dilempar ke ceruk mana, puluhan batu dari tempat mereka bekerja. Semua itu harus difikirkan," katanya.

Beliau turut menyentuh kecenderungan sesetengah pemaju yang lebih menumpukan kepada pembinaan mewah untuk golongan berada serta mengabaikan keperluan perumahan mampu milik.

Anwar berkata di Kuala Lumpur banyak projek mega dibina sebagai kawasan ekslusif untuk golongan berpendapatan tinggi, manakala projek perumahan rakyat pula hanya ditempatkan di kawasan hujung dan kurang strategik.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menekankan pembinaan sekolah perlu menjadi sebahagian daripada perancangan menyeluruh bagi setiap projek pembangunan mega.

Anwar merujuk kepada satu insiden di Kuala Lumpur baru-baru ini, iaitu beliau terpaksa menegur pemaju dan pegawai secara tegas kerana kegagalan mereka merancang keperluan pendidikan dengan baik.

"Saya menegur dengan agak keras kerana apabila tanya pemaju dan pegawai, dia kata sudah ada sekolah sebelah, tetapi sekolah itu dalam satu kelas ada 50 pelajar, dah sesak.

"Takkan untuk pelajar-pelajar di peringkat rendah ini, golongan pendapatan rendah kita asak ikut dia sahaja, tak ada langsung perasaan dan prihatinan kita. Sebab itu saya tegur," kata Anwar.

-- BERNAMA


#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #pembangunan mega #tamadun #teknologi baharu