[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Pembangunan negara harus berasaskan nilai dan akhlak - PM

Bernama 27/04/2025 | 21:30 MYT
Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025H di Dewan 2020 Kangar. - Foto BERNAMA
KANGAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia harus membangun dengan rancak dan segar berasaskan nilai serta akhlak.
Beliau berkata dalam hal ini, kerajaan memperkenal konsep MADANI yang membawa sedikit kelainan agar pembangunan yang dilakukan berbeza dengan kefahaman dan ideologi lain.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025 di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Anwar juga berkata penguasaan al-Quran menjadi asas untuk mengangkat martabat umat Islam di Malaysia dalam membina tamadun dan negara MADANI.
Pada masa sama, beliau berkata penguasaan bahasa, digital dan kecerdasan buatan harus diberi tumpuan bagi mengelakkan umat Islam ketinggalan dalam bidang terbabit.
"Saya ingin mengingatkan dan menyeru rakan-rakan yang mempunyai keupayaan menyampaikan ilmu, ingatlah bahawa cabaran kita terlalu rumit dan umat Islam perlu melakukan sesuatu yang lebih segar, lebih dinamik serta lebih berani," katanya.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025, yang menyaksikan penglibatan 109 peserta, berlangsung mulai Ahad hingga 2 Mei di Dewan 2020 di sini.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #konsep madani #penguasaan al-Quran #Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H 2