KUANTAN: Seorang pembantu kedai burger maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang lori muatan tilam ketika di lampu isyarat di Jalan Kuantan - Sungai Lembing di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa, Adam Daniah Hamzah, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurut, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu, dalam kemalangan itu, pemandu lori, Chee Jit Hoong, 53 tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang membawa muatan tilam dalam perjalanan dari arah Kuantan hendak ke Kemaman.

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan berhenti menunggu lampu isyarat merah sebelum dirempuh motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku di atas kecuaian penunggang motosikal yang mengekor rapat kenderaan.

Katanya, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan proses bedah siasat dilakukan selepas ujian calitan COVID-19," ujarnya.

Wan Mohd Zahari berkata, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.