KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pembantu muzik didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan yang berusia sembilan tahun.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Anuar Wahab, 40, mengaku tidak bersalah  atas kesemua pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah sekolah dan di tepi jalan di daerah Kuala Nerus.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang pada 2018.

Mahkamah | Amang seksual, bekas pembantu guru muzik dihadap ke mahkamah


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri  ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.