MALAYSIA

Pembantu perawatan didakwa cederakan suami bekas isteri guna parang

Bernama 27/07/2025 | 13:00 MYT
Nik Mohd Helmy dituduh sengaja menyebabkan mangsa cedera parah dengan menggunakan sebilah parang di tepi jalan di Kampung Pulau Raja Kubang Kerian pada 3 pagi. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Seorang pembantu perawatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan suami kepada bekas isterinya menggunakan parang pada 16 Julai lepas.

Nik Mohd Helmy Raja Sulong, 38, dituduh sengaja menyebabkan mangsa cedera parah dengan menggunakan sebilah parang di tepi jalan di Kampung Pulau Raja Kubang Kerian pada 3 pagi.

Dia yang bekerja di dewan bedah di sebuah hospital di sini, didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu melibatkan kecederaan menggunakan parang dan mangsa ialah suami kepada bekas isteri tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Fariduddin Mat Noor yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan memandangkan tertuduh perlu menanggung lima anak termasuk anak tiri selain menghidap penyakit jantung dan pernah dua kali terkena serangan penyakit itu semasa dalam tahanan.

Siti Hajar membantah memandangkan mangsa dan tertuduh tinggal berdekatan, iaitu Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Hakim Zulkilfi Abllah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Jika gagal mematuhi syarat, mahkamah boleh menarik jaminan selain tertuduh boleh dikenakan tahanan reman semula.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta menyerahkan pasport dan sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.

-- BERNAMA




#Mahkamah Sesyen #balai polis #cedera parah #pembantu perawatan