MALAYSIA

Pembantu tadbir berdepan 77 pertuduhan salah guna kedudukan, kemuka butiran matan palsu

Bernama 30/10/2025 | 09:14 MYT
Sharudin yang berkhidmat di Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu, membuat pengakuan itu selepas 77 pertuduhan terhadapnya dibacakan selama hampir dua jam. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang pembantu tadbir kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan serta mengemukakan butir matan palsu melibatkan anggaran lebih RM400,000 dari 2022 hingga 2023.

Sharudin Ibrahim, 50, yang berkhidmat di Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu, membuat pengakuan itu selepas 77 pertuduhan terhadapnya dibacakan selama hampir dua jam.

Bagi 15 pertuduhan, lelaki itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan melalui syarikat milik isterinya berjumlah antara RM380 hingga RM16,000, dengan keseluruhan RM55,815.

Kesalahan itu antaranya memperakukan arahan pembayaran bagi penyewaan dan penyelenggaran komputer riba kegunaan pusat pemberian vaksin, sewaan dan selenggara kelengkapan komputer, penyediaan makanan dan minuman, sewaan bot dan rumah bot ke Pulau Redang, cenderahati bagi beberapa program dan percetakan risalah berkaitan program kesihatan.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, Sharudin turut didakwa dengan 62 pertuduhan iaitu mengelirukan prinsipalnya dengan mengemukakan butir matan palsu, antaranya berkaitan penyediaan makanan dan minuman beberapa program kesihatan, gotong-royong, percetakan risalah, cenderhati, penyelenggaraan makmal perubatan dan pembekalan racun rumpai melibatkan lebih RM340,000.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu bermula Oktober 2022 sehingga 2023.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainuddin menawarkan jaminan keseluruhan RM235,000 berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM negeri setiap bulan.

Peguam Muhammad Irham Redzuan memohon jaminan minimum RM15,000 dikenakan bagi kesemua kes, dengan alasan tertuduh kini tiada pendapatan tetap kerana mengambil cuti tanpa gaji selama setahun.

Lelaki itu mempunyai seorang isteri dan tiga anak, manakala isterinya bekerja sebagai pembantu penyelia makanan dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Hakim N. Kanageswari kemudiannya memerintahkan Sharudin diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat ditetapkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Dis depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA



#SPRM #Mahkamah Sesyen #vaksin #matan palsu