Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata kegagalan meneruskan perjanjian penstrukturan industri air hanya akan memberi kesan kepada rakyat Selangor sendiri.

Katanya, kegagalan meneruskan perjanjian itu akan membawa banyak kesan antaranya risiko kehilangan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air yang selama ini telah mengaut keuntungan tidak munasabah di atas kesusahan rakyat yang terpaksa menanggung tarif air yang tinggi akibat perjanjian penswastaan yang berat sebelah dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Oleh itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di antara mereka, bagi memastikan Perjanjian Utama (HOA) penyusunan semula industri air Negeri Selangor yang telah ditandatangani pada tahun lalu dapat diteruskan.

Abdul Khalid juga berkata tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, Kerajaan Selangor kemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu air setiap bulan yang telah dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana.

“Selain itu, peluang ini juga akan membolehkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak 52 peratus pada 2015 seperti yang dibenarkan mengikut Perjanjian Penswastaan.

“Malah lebih buruk lagi, Kerajaan Selangor perlu membayar tunggakan kenaikan tarif air sebanyak RM2 bilion kepada syarikat konsesi,” katanya.

Beliau berkata ini jelas menunjukkan Kerajaan Selangor akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya amat berharap kepimpinan kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang akan dilakukan selepas ini.

“Saya juga hairan apabila dimaklumkan bahawa kerajaan negeri hari ini telah mengeluarkan lesen operasi air bersih kepada syarikat konsesi SPLASH. Perkara ini nampaknya bercanggah dengan usaha dan semangat rakyat Selangor untuk menjadi pemilik mutlak industri air di Selangor apabila penstrukturan air dimuktamadkan.

“Saya khuatir tindakan kerajaan negeri ini akan mengakibatkan rakyat Selangor membayar lebih dari jumlah yang dipersetujui sebelum ini iaitu RM9.65 bilion,” katanya.

Beliau menambah walaupun penyusunan semula industri air penting untuk dijayakan tetapi rakyat Selangor juga perlu dingatkan bahawa harga pengambilalihan ekuiti daripada empat syarikat konsesi air mesti tidak melebihi RM9.65 bilion seperti yang telah dipersetujui.

Abdul Khalid juga berkata beliau percaya bahawa isu pemilikan tanah-yang kononnya dinyatakan sebagai alasan untuk Kerajaan Selangor membatalkan perjanjian air – boleh diselesaikan jika semua pertikaian itu dibawa ke meja rundingan.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau dan beliau memberi jaminan bahawa Kementeriannya akan berusaha untuk melaksanakan perjanjian itu bagi memberi laluan kepada penyelesaian isu air secara holistik seperti yang dihasratkan melalui Akta industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri tidak akan meneruskan rundingan perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air dengan Kerajaan Pusat atas alasan beberapa perjanjian tersebut telah dilanggar dan tidak dipatuhi.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyifatkan Azmin sebagai mengelirukan rakyat kerana penangguhan projek penstrukturan itu disebabkan kegagalan kerajaan negeri melaksanakan tiga syarat permulaan perjanjian.