Pembayaran digital kekal sebagai pemacu utama digitalisasi PKS
Bernama
September 20, 2022 04:20 MYT
September 20, 2022 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kaedah pembayaran secara digital kekal menjadi pemacu utama bagi usaha pendigitalan kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, demikian menurut Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (Amcham).
Laporan oleh pengendali sistem pembayaran dalam talian PayPal bertajuk 'Accelerating SME Digitalisation in Malaysia' (Memacu Pendigitalan PKS di Malaysia) juga hanya memperkukuh keperluan untuk membolehkan pembayaran kaedah itu bagi mempercepat digitalisasi PKS.
"Sewaktu pandemik, pembayaran digital ini menjadi pemacu utama pendigitalan. Walaupun laporan itu mendapati majoriti PKS Malaysia lebih tertumpu di peringkat domestik, namun semakin banyak PKS mengutamakan perdagangan rentas sempadan dan pengantarabangsaan bagi pelanggan baharu, pengembangan serta pertumbuhan masing-masing," katanya dalam kenyataan semalam.
Amcham berkata, laporan yang berdasarkan kaji selidik ke atas 1,000 pemilik PKS di serata Malaysia, menyelami kesediaan digital PKS Malaysia selain aspek analisis kemajuan usaha pendigitalan mereka, kesan pendigitalan terhadap keupayaan menjual penyelesaian rentas sempadan serta mengenal pasti dan menangani cabaran serta merebut peluang-peluang baharu.
Menurutnya, antara dapatan kaji selidik itu adalah 67 peratus daripada PKS ini berjaya mempercepat usaha pembayaran digital atas alasan berkaitan kesihatan dan keselamatan, 57 peratus bagi penerimaan pembayaran serta-merta dan 53 peratus untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
Sebanyak 58 peratus PKS telah bertindak mendigitalkan keupayaan membuat dan menerima bayaran dan disusuli dengan pengiklanan/pemasaran dan perkhidmatan pelanggan manakala 92 peratus menerima beberapa bentuk pembayaran digital daripada pelanggan.
Amcham menyatakan, lebih 40 peratus PKS terbabit dalam penjualan untuk pelanggan antarabangsa dengan rantau Asia Pasifik mencatat bahagian tertinggi bagi jualan rentas sempadan PKS iaitu 48 peratus manakala di peringkat global (42 peratus) dan Asia Tenggara (39 peratus).
Menurutnya, hampir 70 peratus PKS yang menjalankan perniagaan rentas sempadan, bersetuju bahawa pilihan pembayaran secara digital dapat meningkatkan lagi keyakinan serta kewibawaan jenama mereka dan menarik kehadiran pelanggan antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Siobhan Das menyifatkan PKS sebagai teras ekosistem dan berperanan penting dalam rantaian bekalan global.
"Syarikat-syarikat multinasional banyak bergantung kepada ketahanan serta pertumbuhan PKS bagi memastikan kelangsungan serta kestabilan keupayaan mereka dalam menyampaikan nilai untuk pelanggan global.
"Ini memerlukan aspek kebolehunjuran serta keseragaman bagi memastikan pematuhan dan hanya dapat dicapai sekiranya mereka menggunapakai teknologi digital," katanya.
-- BERNAMA