Dua pegawai kanan MARA Incorporated Sendirian Berhad (MARA Inc), Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya akan direhatkan buat seketika sementara menunggu siasatan ke atas pembelian hartanah di Melbourne selesai.

Dua pegawai kanan terbabit iaitu Datuk Mohammad Llan Allani dan Datuk Abd Halim A Rahim masing-masing.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa ketika memaklumkan perkara itu dalam sidang media petang tadi turut berkata MARA telah melantik juruaudit bertauliah PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk membantu menyiasat segala perolehan MARA Incorporated Sdn Bhd di luar negara.

Tindakan itu diambil katanya bagi menjaga intergriti MARA .

"Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud, kami telah mendapati terdapat perbuatan salah laku oleh kedua-dua pegawai atasan ini.

"Siasatan yang bakal dilakukan mencakupi semua aspek. Tidak dihadkan kepada pembelian Dudley International House sahaja," jelas Annuar.


Annuar turut menyentuh kenyataan Polis Diraja Malaysia bahawa tiada unsur pecah amanah dalam kes ini.

Namun, menurut beliau, MARA kurang berpuas hati dan akan bertemu PDRM untuk memberi kerjasama seterusnya.

Mengenai dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengenai kemungkinan pihak MARA Inc telah terlebih bayar dalam pembelian hartanahnya, Annuar berkata MARA tidak bertanggungjawab ke atas kenyataan Rafizi.

"Beliau mempunyai hak untuk menyuarakan pendapatnya namun saya percaya persoalan yang ditimbulkan harus dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab, bukan Rafizi," kata Annuar.

Menurutnya lagi, mesyuarat turut membincangkan secara terperinci mengenai isu tatacara perolehan dan perundingan sebelum aset tersebut dimiliki.

Katanya, semua pegawai tertinggi MARA Inc. termasuk pengerusi dan lembaga pengarahnya telah dipanggil untuk memberikan penjelasan.

"Majlis MARA mendapati ada keraguan yang munasabah mengenai banyak perkara dalam urusan pembelian ini," kata beliau.

Katanya proses audit itu dijangka bermula serta merta dan hasil pengauditan dapat diketahui tidak lama lagi.

Annuar berkata, MARA juga memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada pihak penyiasat, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.

Isu pembelian hartanah oleh MARA Inc menjadi tumpuan selepas akhbar Australia The Age melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok pangsapuri di Melbourne.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri itu pada 2013.

The Age melaporkan ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan Dudley International House iaitu daripada A$17.8 (RM51.5 juta) juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dan mendakwa wang perbezaan itu dijadikan rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli MARA, yang turut menyediakan biasiswa untuk penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat itu di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.

Pada masa ini, MARA Inc mempunyai aset bernilai RM600 juta di Australia dan United Kingdom.