Pembelian hotel FIC: Individu keempat direman

Arief Subhan
Ogos 1, 2017 08:10 MYT
Bekas pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda ditahan reman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes pembelian hotel oleh FIC di Kuching semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
Bekas pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pembelian hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) pada 2014.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Kes pembelian yang terpalit kontroversi itu ketika ini sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki terbabit yang berusia 51 tahun itu ditahan jam 4 pagi tadi di ibu pejabat SPRM di sini, individu keempat yang direman berhubung siasatan pembelian hotel berkenaan.
Sabtu lalu, dua lelaki berusia 47 dan 51 tahun, iaitu pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel itu, direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan.
BACA: Bekas CEO FIC direman empat hari
Pada Ahad, seorang lagi lelaki berusia 57 tahun, iaitu pengarah sebuah syarikat yang memiliki hotel itu direman selama enam hari.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a), Akta SPRM 2009.
Dipercayai FIC membayar antara RM40 juta dan RM50 juta lebih daripada harga pasaran bagi pembelian hotel Merdeka Palace tersebut.
SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.
#Felda #Kuching #London #pembelian hotel #Rasuah #reman #siasatan #SPRM